By Badrila Jamlus, Harian Metro (Bisnes)
MST Golf Sdn Bhd (MST Golf), rangkaian peruncit barangan golf terbesar di negara ini merancang membuka empat lagi cawangan baru tahun ini dengan dua cawangan itu akan dibuka di sekitar Lembah Klang.
Syarikat itu pada tahun lalu mencatatkan perolehan RM120 juta menerusi lebih 50 cawangannya di dalam dan luar negara iaitu di Singapura, Thailand dan Vietnam.
Selain mengedarkan produk berkaitan golf, syarikat yang menyambut ulang tahun ke-25 tahun ini turut terbabit dalam pengedaran barangan dan peralatan sukan terkemuka dari United Kingdom menerusi cawangan pertamanya, SportsDirect.com yang dibuka pada 2011.
Ketua Eksekutif MST Golf, Ng Yap berkata, pihaknya akan membuka sebuah cawangan baru pada bulan depan di Pulau Pinang sebagai tambahan kepada dua cawangan sedia ada manakala tiga lagi cawangan baru sedang dikenalpasti lokasinya.
Beliau berkata, ketika ini, sebanyak 70 peratus perolehan syarikat adalah dari dalam negara manakala 28 peratus dari Singapura selebihnya dari Thailand dan Vietnam.
“Kami juga merancang membuka 20 cawangan baru SportsDirect.com sebagai tambahan kepada lima cawangan sedia ada dalam tempoh dua tahun dengan kedudukan lokasinya yang strategik dan menjadi tumpuan orang ramai khususnya golongan muda.
“Kami yakin segmen pengedaran barangan sukan akan berkembang dan kami mempunyai kelebihan kerana Sports Direct PLC dari UK mempunyai pegangan hak ke atas lebih 20 jenama terkemuka seperti Lonsdale, Karrimor, Dunlop dan Umbro sekali gus membolehkan kami menawarkan harga kompetitif di pasaran,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif SportsDirect.com, Paul Gibbons berkata, cawangan pertama di Subang Jaya adalah yang terbesar dengan keluasan 25,000 kaki persegi dan bagi pembukaan cawangan baru, pihaknya memerlukan saiz keluasan minimum antara 10,000 hingga 12,000 kaki persegi.
This article was originally published in Harian Metro on Monday, 12 May 2014:
http://www.hmetro.com.my/articles/Mahubukaempatlagi/Article/